USB OTG Apakah Definisi Kegunaannya
Kami yakin mungkin ramai di antara anda di luar sana khususnya pemilik peranti Android sama ada telefon pintar mahupun tablet, tidak tahu atau tidak mengambil peduli tentang kewujudan fungsi USB OTG pada peranti mudah alih mereka. Tetapi tanpa anda sedar, fungsi USB OTG ini sebenarnya sangat praktikal untuk digunakan dalam kehidupan seharian, tidak kira untuk tujuan kerja mahupun hiburan. Jadi apakah sebenarnya USB OTG dan apakah kegunaannya?!
Apa itu USB OTG?!
USB OTG atau USB On The Go merupakan satu standard yang membolehkan peranti mudah alih seperti telefon pintar ataupun tablet untuk terus mengakses pemacu kilat USB (USB Flash Drive) untuk membaca, menyunting ataupun memindahkan kandungan yang terdapat di dalamnya. Ini bermakna anda tidak lagi perlu menggunakan komputer untuk memindahkan fail dari pemacu kilat USB ke telefon pintar ataupun tablet, kerana ia boleh terus diakses pada bila-bila masa dan di mana jua anda berada.
Bagaimana Cara Untuk Mengetahui Sama Ada Peranti Anda Menyokong USB OTG?!
Walaupun fungsi USB OTG adalah sangat praktikal untuk digunakan dalam kehidupan seharian, kebanyakan pengeluar peranti mudah alih tidak menyatakan secara jelas sama ada fungsi ini disokong ataupun tidak. Memandangkan tidak semua telefon pintar ataupun tablet yang terdapat di pasaran ada menyokong fungsi USB OTG, terdapat beberapa kaedah yang boleh anda gunakan untuk mengesahkannya.
Kaedah 1: Gunakan bantuan aplikasi seperti USB OTG Checker yang boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store.
Kaedah 2: Sambungkan pemacu kilat USB ke peranti mudah alih dan lihat jika ia ada dipaparkan pada ruangan notifikasi, tetingkap mesej ataupun File Manager.
Apa Yang Boleh Anda Lakukan Dengan USB OTG?!
#1. Sambungan Pemacu Kilat USB
Sambungan menggunakan pemacu kilat USBdengan sokongan OTGSambungan pemacu kilat USB menggunakan adapter USB OTG
Perkara paling utama dan tipikal yang biasa untuk menggunakan fungsi USB OTG adalah menyambungkan pemacu kilat USB terus ke telefon pintar ataupun tablet anda. Jika sebelum ini proses sambungan pemacu kilat USB perlu dibuat dengan bantuan adapter USB OTG, kini sudah terdapat pelbagai pilihan pemacu kilat USB yang didatangkan sekali dengan sokongan sambungan microUSB ataupun USB Type-C. Ini bermakna pemacu kilat USB itu boleh terus disambungkan ke peranti mudah alih anda dengan mudah.
#2. Sambungan Tetikus Atau Papan Kekunci
Sokongan USB OTG bermaksud ia juga turut dilengkapi dengan fungsi USB Host yang mana membolehkan anda untuk menyambungkan perkakasan asas komputer iaitu tetikus dan papan kekunci ke telefon pintar atau tablet. Tanpa perlu mengaktifkan sebarang tetapan, anda hanya perlu menyambungkan tetikus atau papan kekunci dan terus menggunakannya seperti biasa. Namun jika anda menggunakan papan kekunci yang dikhususkan untuk permainan yang memiliki pelbagai butang kawalan tambahan, hanya butang asas sahaja yang boleh dioperasikan.
#3. Sambungan Alat Kawalan Permainan Atau MIDI
Selain perkakasan asas komputer, anda juga sebenarnya boleh menyambungkan lebih banyak peralatan seperti alat kawalan permainan ataupun MIDI (Musical Instrument Digital Interface). Ini bermakna anda sebenarnya boleh menggunakan peralatan multimedia seperti input audio untuk muzik atau input kawalan untuk menikmati pengalaman bermain yang jauh lebih baik berbanding menggunakan input sentuhan pada skrin telefon pintar ataupun tablet anda.